Rabu, 18 Disember 2013

Seronoknya Hidup Tanpa Hutang!

Seronoknya Hidup Tanpa Hutang!

by  on APRIL 7, 2008
Post image for Seronoknya Hidup Tanpa Hutang!
Assalamualaikum w.b.t. Sekadar ingin berkongsi kegembiraan, sekiranya ada kebaikan, moga boleh diambil pengajaran oleh semua sahabat.
Alhamdulillah, tengahari tadi saya dah buat full-settlement pinjaman PTPTN isteri saya di pejabat PTPTN, di belakang bangunan pejabat saya. Hutang asal berjumlah RM10,000, apabila tambah interest, semuanya RM11,110.10. Maksudnya, mulai hari ni kami berdua bebas daripada segala hutang piutang.
Azam Kami 3 Tahun Lalu
Syukur alhamdulillah. Allah makbulkan azam kami sejak 3 tahun lalu iaitu ingin BEBAS daripada segala hutang piutang. Kami mahu hidup tanpa hutang. Kami ingin memecahkan pemikiran lapuk kami bahawa “hidup mesti berhutang, baru boleh senang”.
Kami tak kaya, pendapatan pun agak kecil bagi kehidupan di bandar metropolitan seperti KL ni. Masih di bawah taraf kemiskinan sebab saya seorang jer yang bekerja. Isteri tak dapat bekerja untuk bagi keutamaan kepada anak-anak yang masih kecil. Tetapi syukur pada Tuhan, Dia memberikan kecukupan kepada kami. Sebagaimana doa yang kami minta dalam bacaan ma’thurat di waktu pagi. Biarlah tak hidup bermewah-mewah, asalkan hidup bahagia bersama keluarga tercinta.
“Doa Spiritual” disertakan “Doa Praktikal”
doa spiritualKami meminta melalui doa spiritual supaya Tuhan keluarkan kami daripada kesempitan dan belengu hutang. Kami buktikan kepada Tuhan bahawa kami benar-benar nak “doa” itu dimakbulkan melalui “doa praktikal” iaitu USAHA secara lahiriah.
Nak bebas dari hutang. Ya, memang mudah menyebutnya. Tetapi bagi kami ia satu MUJAHADAH. Mujahadah mentarbiyyah diri, mengekang nafsu berbelanja, menanam rasa cukup dengan apa yang ada. Tidak terkejar-kejar pada “gaya”, “standard” dan “trend” masa kini. Belajar kenalpasti yang mana KEPERLUAN, yang mana KEMAHUAN. Mengurus KEUTAMAAN dalam perbelanjaan. Sentiasa merasa tak cukup dengan ilmu kewangan yang ada.
Sentiasa berusaha menyemai sikap dan DISIPLIN diri. Sentiasa MUHASABAH tentang tabiat berbelanja sehari-hari. Yang mana tersilap, kami jadikan pengajaran buat diri.
Ia Persoalan “Sikap” dan “Tabiat”
Mengurus kewangan keluarga bukan sekadar persoalan duit keluar dan duit masuk. Yang paling penting ialah memperbetulkan SIKAP dan TABIAT tentang kewangan. Sebab memang terbukti, ramai orang bertungkus lumus cari duit pagi petang siang malam. Memperluaskan “pintu masuk” (pendapatan) tapi terlupa untuk mengurus “pintu keluar” (perbelanjaan). Akhirnya, kaya tidak, senang pun tidak. Pendapatan bertambah, kerak hutang pun turut sama bertambah.
Rupa-rupanya ilmu “kekayaan” adalah satu bidang lain yang kita kena belajar dengan ahlinya. Macam mana terer pun kita dalam ilmu perakaunan dan kewangan, belum tentu kita berjaya urus kewangan diri. Ia harus dipelajari. Harus “berguru” dengan mereka yang telah terbukti.
Semangat Baru Dalam Mencari Kekayaan
burung bebas sangkarHari ini adalah hari baru bagi kami. Hari yang memberi semangat baru dalam mencari kekayaan milik Tuhan. Kekayaan akan tetap kami cari tetapi kekayaan yang direzekikan Tuhan haruslah kami ‘kembalikan’ kepada Tuhan. Barulah dapat bahagia yang kami impikan, kerana itulah aturan Tuhan untuk setiap insan. Ke mana sahaja wang dibelanjakan, mesti ada kena mengena dengan Tuhan.
Kita DATANG dari Tuhan. Akhirnya tetap KEMBALI kembali kepada Tuhan. Jadi, TUJUAN kita mestilah Tuhan. Seluruh hidup kita mestilah bermatlamatkan Tuhan. Barulah akan dapat apa yang kita semua impikan.
Kekayaan adalah keperluan. Tuhan itu tujuan. Walau apa pun kita buat tujuannya mesti bermatlamatkan Tuhan. Janganlah digantikan “tempat Tuhan” dengan “selain Tuhan”. Kekayaan itu barang milik Tuhan. Alangkah zalimnya kita terhadap diri sendiri kalau jadikan “barang milik Tuhan” sebagai Tuhan. Menjadikan ia sebagai matlamat dan tujuan. Itulah hidup hanya untuk cari makan. Tak ubah seperti haiwan ciptaan Tuhan.
Apabila “Tujuan” Selain Tuhan
Bila kekayaan jadi “tujuan”, maka rosaklah hidup manusia. Hilanglah bahagia yang dicita. Manusia akan hilang punca, sentiasa teraba-raba mencari kebahagiaan yang tidak kunjung tiba. Pendapatannya banyak tetapi tak pernah merasa cukup. Semakin diteguk semakin haus. Hartanya banyak tetapi jiwanya resah gelisah, hidup serba tak kena.
Harta yang telah dimiliki tak pernah membawa bahagia. Apa taknya, dah ada BMW 3 Series, dia nakkan 5 series. Dah dapat 5 series, dia nakkan pula 7 series. Walaupun apa yang dimilikinya dah cukup hebat, tetapi sentiasa tak bahagia dengan apa yang dah ada. Begitulah anologinya untuk panduan kita.
bmw 3 series 5 series
Buktinya, lihatlah orang disekeliling kita. Pendapatannya besar tetapi tak pernah merasa cukup. Kereta lebih besar daripada kita. Handphonenya lebih canggih daripada kita. Pakaiannya lebih berjenama daripada kita tapi Hutang Mudaratnya mencecah 5 dan 6 angka. Kad kredit itulah satu-satunya “reserve” yang dia ada. Apabila diminta zakat dan infaq, “wah… dia sangat berkira”. Ish… boleh pula dia hidup macam tu.
Azam Hidup Tanpa Hutang
Mulai hari ni, kami berazam tak nak buat hutang lagi (tanpa KEPERLUAN yang mendesak). “Mendesak” sehingga kami tak boleh hidup tanpa membuat hutang. “Ya Allah, perkenankanlah niat suci kami in wahai Tuhan pemilik segala kekayan. Supaya lebih mudah kami mengisi hidup ini dengan berbakti. Berbakti kepada-Mu, berbakti kepada makhlukMu”.
bebas hutang akhirnya
Itulah sedikit luahan rasa. Bukan nak berbangga, tetapi nak berkongsi rasa sesama kita. Sebagai DORONGAN supaya semua berjaya belaka. Sebab kami dulu tak ada yang sudi berkongsi begini. Betapa peritnya belajar dari kesilapan sendiri. Teraba-raba mencari panduan sendiri. “Kesilapan”, itulah guru yang paling zalim. Ia zalim tetapi ia memberi 1001 pengajaran yang mahal harganya kepada sesiapa yang sanggup belajar daripadanya.
Walau apa pun, kami masih jahil dalam bab kewangan peribadi. Banyak lagi yang harus dipelajari. Banyak lagi TABIAT dan SIKAP yang harus disemai dan dikukuhkan setiap hari. Mudah-mudahan kita sama-sama berjaya dalam mencari dan mengurus kekayaan milik Tuhan.
Wallahu a’lam. Wassalamu a’laikum.


Read more: http://www.mohdzulkifli.com/2008/04/seronoknya-hidup-tanpa-hutang.html#ixzz2noVAxvFI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan