7 Prinsip Penting Menyimpan Wang
Masa mula-mula nak menyimpan, saya selalu tunggu duit lebih. Kalau ada lebih baru simpan. Kalau lebih banyak, simpan banyak. Kalau sikit, simpan sikit. Tapi sebenarnya itulah kesilapan pertama bila nak menyimpan. Kalau tunggu duit lebih, alamatnya sampai bila-bila pun tak akan menyimpan. Sampai bila-bila pun tak ada lebih. Masa mula-mula kerja, gaji RM1,600 rasa tak cukup. Tapi bila gaji dah berganda pun masih rasa tak cukup.
Masa dapat hasil bisnes pun sama. Bila dapat hasil, saya senaraikan dulu duit tu nak belanjakan ke mana. Last sekali baru cek berapa lagi baki yang boleh disimpan. Tapi teknik ni memang proven ianya silap. Memang tak akan berbaki pun. Bahkan tak cukup. Akhir sekali baru saya faham prinsip penting bila nak menyimpan;potong dulu, belanjakan selebihnya. Bukan belanja dulu, simpan selebihnya…
Bukan Pendapatan, Tapi Jumlah Simpanan
Sekarang ni, bila dapat hasil bisnes, saya akan potong siap-siap untuk disimpan. Saya target 50% hasil bisnes mesti disimpan. Selebihnya baru boleh buat belanja. Duit gaji bulanan pun sama. 10% mesti bayar diri sendiri dulu – tambahkan simpanan. Selebihnya baru guna untuk bayar orang lain – belanja bulanan. Tapi macam mana nak simpan kalau duit tak cukup? Pengalaman saya, kalau simpan, duit tak cukup. Kalau tak simpan pun, duit tak cukup juga untuk berbelanja! Jadi, lebih baik menyimpan.
Menyimpan sebahagian daripada pendapatan memang tabiat wajib kalau nak kaya. Bak kata Irfan Khairi, kekayaan bukan berapa banyak income yang kita dapat, tapi berapa banyak yang kita simpan. Lepas amalkan tabiat menyimpan, memang saya rasa duit belanja bulanan tak cukup. Sama macam orang lain juga. Masuk tengah bulan jer, poket mula pokai. Mula la ‘korek’ duit sana sini. Tapi bila kita menyimpan, pokai kita tak sama macam orang lain. Saya selalu istilahkan sebagai “pokai berduit”. Pokai, tapi ada duit.
Pokai Berduit
Kenapa banyak menyimpan tapi masih pokai? Sebab kita kena disiplinkan diri dalam menyimpan. Duit belanja bulanan kena bajet siap-siap berapa amaun untuk dibelanjakan. Duit simpanan tak boleh disentuh melainkan untuk tujuan khas simpanan. Duit simpanan kecemasan tak boleh disentuh, melainkan untuk kecemasan. Duit simpanan untuk bisnes, tak boleh disentuh melainkan untuk bisnes. Itulah prinsipnya. Tapi kalau sentuh juga duit tu, maksud kita dah “pecah amanah” pada kewangan sendiri! Hukumannya ialah lambat kaya!
Ada seorang multi-millionaire yang saya kenal bulan lepas; pakai sempoi jer macam ‘tukang kebun’. Naik kereta ke sana ke mari pakai Honda Accord tahun 1990-an. Duduk rumah setinggan. Tapi aset dia puluhan juta! (Itu baru nama zuhud). Kalau bab sedekah, memang dia tak berkira. Tapi kalau untuk diri sendiri, memang berkira sangat supaya jangan sampai duit terbocor kepada benda yang tak perlu. Setiap sen duit dibelanja mesti dia rekod. Resit beli di 7-Eleven pun dia rekod! MasyaAllah…
Gaya Hidup Golongan “Cash Rich”
Memang patutlah dia kaya raya. Dia memang berdisiplin dalam berbelanja. Sangat berhati-hati takut duit terbocor kepada yang sia-sia. Kesilapan ramai daripada kita, penat pagi petang cari duit, tapi lupa duit yang kita cari terbocor pada belanja yang entah ke mana.
Pengasas facebook Mark Zuckerberg cuma pakai kereta Honda bernilai USD20,629 (RM63,131) walaupun kekayaannya bernilai USD15.86 billion.
Dah dekat 3 tahun saya terlibat jual beli emas. Saya berpeluang berjumpa ramai orang yang “cash rich” – banyak simpanan tunai. Saya perhati, orang “cash rich” ni kebanyakkannya jenis low profile. Pakai kereta biasa jer. Hidup macam orang biasa jer. Hidup tak nampak bergaya. Agak cermat bila berbelanja. Tapi duit simpanan cukup untuk dia tidur lena. Bak kata orang, letak kepala jer terus lena… Peace of mind. InsyaAllah.
7 Prinsip Penting Menyimpan Wang
Berdasarkan pemerhatian saya, ada beberapa prinsip penting yang diamalkan orang kaya-kaya dalam menyimpan kekayaan. Saya sendiri pun amalkan prinsip ni dan memang berkesan, alhamdulillah. Antaranya;
#1 – Potong at least 10% daripada income bulanan untuk dijadikan simpanan untuk dilupakan. Simpan dan lupa. Jangan diingat-ingat lagi… Sampai satu masa, duit tu boleh dimanfaatkan untuk gandakan kekayaan melalui bisnes atau pelaburan.
#2 – Simpanan di tempat yang agak ‘susah’ dikeluarkan macam Tabung Haji (tiada kad ATM) dan simpanan emas. Kalau simpan dalam Tabung Haji, jangan sekali-kali ambil kemudahan pengeluaran melalui ATM Bank Islam atau Bank Rakyat. Kalau mudah dikeluarkan, duit simpanan tu tak akan bertahan lama. Dan lagi baik kalau serahkan buku bank tu kepada mana-mana ahli waris yang amanah. Bila benar-benar terdesak jer baru mintak buku tu.
#3 – Mulakan simpanan sekarang walaupun sedikit. Tak kira berapa banyak pun jumlah yang kita mampu simpan setiap bulan, yang paling penting ialah memupuk TABIAT menyimpan. Dulu saya mula menyimpan cuma RM20 sebulan potong gaji masuk Tabung Haji. Pesan Azizi Ali, selagi anda tak menyimpan wang, selagi itulah anda tidak akan menjadi kaya!
#4 – Asingkan cepat-cepat bahagian simpanan sebaik sahaja dapat gaji atau terima hasil bisnes. Jangan tangguh-tangguh. Paling baik, buat potongan gaji supaya duit tu dapat ‘diselamatkan’ sebelum sampai ke tangan kita lagi. Selebihnya baru guna untuk belanja. Duit yang tak diasingkan sangat berisiko untuk dibelanjakan.
#5 – Letakkan matlamat simpanan at least 3 bulan pendapatan sebagai dana kecemasan. Lagi baik 6 bulan pendapatan. Dana kecemasan tu penting sebagai ‘buffer’ kalau hilang pekerjaan. Kalau anda plan nak berhenti kerja dan buat bisnes sendiri, mesti simpan at least setahun pendapatan sebagai backup. Kalau nak bebas kewangan, sasarkan simpanan at least RM1.2 juta! Nilai tu mampu menjana pendapatan tahunan yang cukup untuk tak perlu bekerja sepanjang hayat, insyaAllah.
#6 – Laburkan semula bila dapat keuntungan daripada simpanan. Kalau dapat dividen, reinvest dividen tu supaya duit tu akan berganda. Kalau belanjakan setiap kali dapat dividen, nilai pokok tu sebenarnya susut setiap tahun dimakan inflasi. Nilai RM100,000 hari ni tak sama kuasa belinya pada 10 tahun akan datang.
#7 – Jangan jadikan takaful / insuran sebagai tempat untuk menyimpan wang, tapi ambil takaful betul-betul untuk dilindungi dengan pampasan atas musibah seperti kematian, hilang upaya, kos rawatan hospital, dan penyakit kritikal. Kalau simpan duit dalam takaful, anda rugi ‘wakalah fee’ yang bukan sedikit. Takaful bertujuan untuk perlindungan kewangan jika berlaku sebarang musibah. Ia bukan untuk simpanan. Simpanan dan perlindungan takaful adalah dua instrumen berbeza. Kita perlu adakan simpanan atas banyak tujuan yang tak boleh dilindungi oleh takaful contohnya; simpanan dana kecemasan (e.g. kereta rosak, kehilangan harta, hilang pekerjaan dsb), simpanan untuk memulakan bisnes, simpanan untuk pelaburan dsb.
Itulah 7 prinsip penting menyimpan wang. Mudah-mudahan dapat sama-sama kita amalkan, insyaAllah.
Wallahu a’lam.
Read more: http://www.mohdzulkifli.com/2013/08/7-prinsip-penting-menyimpan-wang.html#ixzz2noQnWSaY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan