Mulakan Bisnes Masa Tak Perlukan Bisnes
Ada kawan minta saya ajarkan, macam mana nak buat bisnes. Dia nak kerja dari rumah. Dia nak jaga suami yang tengah sakit. Sambil kerja, boleh jaga suami katanya. Saya tak ada formula ajaib untuk dia boleh cepat berhenti kerja. Saya ada kongsikan tips memulakan bisnes dalam artikel “4 Langkah Mudah Memulakan Bisnes Sendiri”, tapi saya tak ada jalan short-cut. Saya pun ambil jalan long-cut. 10 tahun baru saya ada “pilihan” untuk tinggalkan kerja.
Masa saya start bisnes 10 tahun lalu, saya bukan setakat tak pandai bisnes, bahkan saya tak suka bisnes. Saya fikir, orang buat bisnes ialah orang yang tak belajar tinggi dan tak ada masa depan. Maka bisnes lah jalan keluarnya. Tapi sebab terpaksa, saya memulakan bisnes sebab saya fikir, siapa nak bagi kalau saya perlukan duit extra RM10? Lepas kerja setahun, saya cuma dapat kenaikan gaji RM50 jer! Kalau merayu dengan bos sekalipun, RM50 tu tak akan jadi RM60. RM50 tu tetap RM50. Keputusan syarikat adalah muktamad!
Masa tu saya menggagau cari duit extra. Gaji saya jauh lebih rendah dari paras kemiskinan di KL. Nak kerja part-time. Pergi interview sana sini. Sanggup mintak cuti daripada bos untuk pergi interview kerja part-time. Tapi bukan rezeki saya, boleh dikatakan kebanyakan iklan dalam news paper adalah “misleading”. Kalau ada iklan kerja “data entry” sambilan di rumah, biasanya tipu. Lepas 2, 3 kali siri interview, akhir sekali dia suruh saya invest dalam forex!
10 Tahun Pengalaman Berniaga
Lepas 10 tahun terlibat dengan bisnes, macam-macam bisnes dah kami explore. Bermula dengan MLM, buat baju kurung kanak-kanak, jual coklat, buat biskut raya, jual set bersalin, jual mushroom tart, jual chocolate gift, jual gift untuk event, jual kek coklat, jual muffin, jadi ejen TM, join internet affiliate, jual supplement, jual produk kecantikan, jual emas dan macam-macam pengalaman. Ada yang kami buat offline, dan ada yang online. Ada produk kami buat sendiri, ada yang ambil dari orang. Ada yang penat, ada yang kurang penat. Ada yang untung, ada yang rugi. Ada untung besar, ada untung kecil. Ada masa bersemangat, dan tentunya ada masa rasa down! Itu lumrah bisnes.
Yang penting, kami dapat pengalaman yang mahal harganya. Itu harta “intangible” yang membolehkan kami jana lebih banyak kekayaan. Sampaikan kami rasa, kalau nak duit lebih, kami boleh cari, insyaAllah. Bukan lagi mengharapkan ihsan majikan untuk kenaikan gaji atau bonus hujung tahun. Bahkan kalau tak ada duit gaji sekalipun, insyaAllah kami boleh cari duit sendiri tanpa perlu bekerja lagi.
Merangka Masa Depan Keluarga
Sehari dua lepas kelahiran anak kami yang ke-7 baru ni (7 November 2013), kami suami isteri sibuk merancang untuk beli sebuah kondominium duplex dalam masa 2 tahun. Nilainya dalam RM600,000. Supaya anak-anak kami membesar dalam rumah yang lebih kondusif, insyaAllah. Duit belum ada, tapi ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk kami dapatkan duit tu dah ada, alhamdulillah.
Kami merancang membeli rumah di sini. Cukup selesa untuk kami sekeluarga, dan SELAMAT untuk tinggalkan anak-anak di rumah. Dan yang penting juga, ia selesa untuk kami meraikan tetamu, insyaAllah.
Mampu ke tak beli rumah semahal itu? InsyaAllah, Tuhan tu di sisi sangkaan hambaNya. Kalau kita fikir boleh, insyaAllah Tuhan permudahkan jalannya sebab kekayaan tu bukan terletak pada poket kita, tapi pada NILAI DIRI kita yang sebenar sebagaimana saya pernah tulis dalam “5 Amalan Tingkatkan Nilai Kekayaan Diri”. Kerja kita cuma DOA, USAHA, IKHTIAR, dan TAWAKKAL (D.U.I.T). Kalau tak dapat menggapai langit, menggapai awan pun dah ok, insyaAllah. Doakan kejayaan untuk kami ye sahabat-sahabat… (“,)
Antara Impian dan Angan-agan
Sekarang ni, bila saya buka balik senarai “IMPIAN HIDUPKU”, alhamdulillah, dah banyak item yang saya boleh “tick”. Kalau saya tak mulakan bisnes dulu, mungkin hari ni impian tinggal angan-angan jer.
Ramai orang ada impian, tapi dia tak tulis impan tu. Ada orang impiannya balik duduk di kampung, tapi dia tak tulis. Ada orang nak jadi suri-rumah sepenuh masa, tapi mereka tak tulis. Ada orang nak jadi ayah sepenuh masa, tapi dia tak tulis. Ada orang nak ada lebih masa dengan anak-anak, tapi tak tulis. Kita tak tulis dan kita tak sempat fikir pun tentang impian kita. Kita terlalu sibuk dengan impian syarikat kita, impian bos kita sampai tak sempat fikir tentang impian kita sendiri.
Bila Kita Perlukan Bisnes
Ada kawan kami yang jatuh sakit dan terpaksa ambil cuti. Masa tu baru dia terfikir bestnya kalau duduk rumah dan ada bisnes sendiri. Isteri dia pun fikir, kan bagus kalau boleh kerja di rumah teman suami yang tengah sakit. Masa tu baru dia realise, oh, kerja tu sebenarnya bukan milik kita. Ia milik majikan kita. Kalau kita jatuh sakit, dan tak mampu bekerja, kita terpaksa keluar pejabat ‘sehelai sepinggang’! Laptop yang kita pakai, printer yang kita guna, bahkan pen dan kertas pun bukan milik kita! Dan tentunya gaji pun bukan lagi milik kita.
Sebab tu Robert T. Kiyosaki pesan, “buat apa kita berkerja (makan gaji) bertahun-tahun lamanya kalau akhirnya kerja tu bukan milik kita?”. Kalau kita usahakan bisnes, bisnes tu kita yang punya. Bertahun-tahun kita usahakan, bisnes tu akhirnya memang kita yang punya. Kita boleh libatkan sekali isteri dan ahli keluarga kita. Kalau kita dah tak ada, bisnes tu jadi milik keluarga.
Tahun pertama bekerja, kami pasang cita-cita untuk ada bisnes yang membolehkan kami bekerja disamping anak-anak. Kami tulis dan kami usahakannya bersama.
Bisnes Akhirnya Milik Kita
Buat bisnes, bukan bermaksud kerja tak bagus. Kerja memang bagus, tapi kalau ada bisnes, bisnes tu boleh jadi “payung terjun” bila kita perlukan dia. Bila nak duit lebih, bisnes lah jalannya. Bila nak kerja disamping keluarga, bisnes lah jalannya. Bila nak pencen umur muda, bisnes lah jalannya. Bila nak masa kerja yang lebih fleksible, bisnes lah jalannya. Bila kita terpaksa berhenti kerja, bisnes lah “payung terjunnya”. Bila kita nak wariskan pendapatan kepada keluarga, bisnes ada jalannya.
Bila saya imbas balik, ramai kawan-kawan buat tak pandang jer masa saya mula-mula buat bisnes dulu. Macam saya pandang orang bisnes sebagai “low-class”, macam tu lah juga orang pandang saya masa tu. Mereka lebih berduit, tapi saya selalu sempit. Mereka ada masa merayau-rayau di shopping complex, melancong sana sini, mengadap TV tiap-tiap hari. Mereka tahu perkembangan maharaja lawak, tapi saya tak pernah tengok pun rancangan tu.
Tulis Impian, Mulakan Bisnes Sendiri
Tapi hari ni alhamdulillah, Allah ganti balik masa saya yang lalu. Bisnes memberikan saya lebih banyak pilihan dalam hidup. Bukan bermakna dah kaya raya, tapi at least dengan bisnes saya boleh buat banyak benda yang saya suka. Kalau sahabat ada cita-cita untuk berniaga, mulakan hari ni. Jangan tunggu pencen baru nak berniaga sebab masa tu kita dah tak bertenaga. Jangan tunggu anak-anak rindukan cuti papa dan mama baru nak bermula, sebab bila kita dah kaya, waktu tu dia tak perlukan kita. Jangan tunggu ibubapa dan mentua sakit, baru terfikir bagusnya kalau boleh jaga mereka sepenuh masa sebab bila kita dah bersedia, mungkin mereka dah tiada…
Senaraikan impian hidup hari ni, dan mulakan bisnes sendiri. Bila waktu kita benar-benar perlukan bisnes, insyaAllah bisnes kita dah siap tersedia.
Wallahu a’lam.
Read more: http://www.mohdzulkifli.com/2013/11/mulakan-bisnes-masa-tak-perlukan-bisnes.html#ixzz2noTjUUOE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan